Keputusan UPSR 2008 telahpun diumumkan. Kepada yang berjaya memperolehi 5A diucapkan tahniah. Namun kepada yang tidak berjaya mencapai 5A juga patut menerima tahniah kerana anda semua telah berusaha sedaya mungkin, barangkali anda tidak bernasib baik.
Apapun, sekarang bukan masanya untuk memikirkan keputusan yang telah diperolehi, tetapi masa untuk memikirkan halatuju seterusnya. Kepada calon-calon yang memperolehi 5A atau 4A, pastinya sudah memikirkan untuk meneruskan pengajian ke sekolah-sekolah pilihan. Bagi calon-calon lain, barangkali tiada pilihan, sekolah-sekolah saluran sedang menunggu anda. Perlu juga diingat bahawa sekolah-sekolah pilihan atau sekolah berasrama penuh mempunyai tempat yang terhad, jadi bukan semua calon 5A akan berpeluang kesana.
Belajar di sekolah tidak terpilih bukan bererti tidak berkualiti. Guru-guru yang mengajar disekolah tidak terpilih juga keluar dari institusi latihan yang sama dengan guru-guru sekolah berasrama penuh atau sekolah-sekolah khas di seluruh negara. Mungkin dari segi prasarana sahaja berbeza dan tentunya keupayaan pelajar-pelajar menjadi penentu.
UPSR hanyalah sebagai satu alat yang digunakan untuk menilai keupayaan pelajar. Tiga tahun lagi, PMR sedang menunggu anda semua. Jadi mulai sekarang fikirkanlah bagaimana untuk menghadapi PMR pula nanti kerana pastinya PMR memberi makna lebih besar berbanding UPSR. Menjadi pelajar cemerlang di sekolah biasa adalah lebih bermakna dari menjadi pelajar cemerlang di sekolah terpilih. Kerana pelajar sekolah terpilih adalah dari kalangan yang terpilih. Adalah mengaibkan nanti jika mereka tidak memperolehi keputusan yang cemerlang berbanding rakan dari sekolah tidak terpilih dalam PMR kelak.
Gunakanlah masa-masa yang ada ini untuk membuat persediaan bagi menghadapi persekolahan tahun 2009 nanti.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Masukkan pandangan anda