Saturday, January 8, 2011

Lidah lambang peribadi

Benarkah diam itu lebih baik?  Pada keadaan-keadaan tertentu memang diam itu lebih baik, tetapi harus diingat bahawa diam bukan bererti kalah atau mengiyakan sesuatu perkara yang sedang hangat diperkatakan.  Apabila berhadapan dengan suasana tegang, panas, dan apa sahaja situasi yang merimaskan atau boleh mencetuskan perbalahan atau perselisihan, maka langkah berdiam diri merupakan langkah yang baik.

Pepatah ada menyatakan bahawa lidah lebih tajam daripada mata pedang.  Diam merupakan salah satu cara untuk mengelak berlakunya   pertengkaran yang lebih besar atau pergaduhan walaupun kita berada dipihak yang benar.   Dalam kehidupan harian kita, istilah 'mulut laser' memang biasa bagi kita.  Mereka yang bermulut laser ini biasanya termasuk dalam golongan yang boleh membangkitkan kemarahan orang lain.  Dalam Islam, Allah melarang kita menghina atau mengejek  atau menimbulkan kemarahan orang lain.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "Sesungguhnya Allah membenci kepada orang yang buruk perangai dan kotor lidahnya" - Riwayat al-Tarmizi.

Dalam bab menjaga lidah ini, Imam Al-Ghazali telah menggariskan tanda-tanda lidah yang kotor iaitu:
  • Berkata-kata yang tidak berfaedah
  • Berlebih-lebihan apabila bercakap
  • Suka bercakap yang batil
  • Banyak memaki hamun
  • Suka bertengkar / bertikam lidah
  • Mencari-cari kesalahan orang lain
  • Suka mengumpat
  • Bergurau secara berlebihan
  • Suka mengejek dan menghina orang lain, membuka aib orang
  • Bersumpah palsu
  • Memuji bukan pada tempatnya atau mengampu
Lidah melambangkan keperibadian sipenuturnya.  Oleh yang demikian jagalah dan gunalah lidah untuk kebaikan.  Peribadi dan maruah seseorang akan dipamerkan oleh lidahnya.  Jika baik tutur katanya, maka baiklah budi pekerti sipenuturnya.  Begitulah sebaliknya.  Jadi pilihlah untuk menjadi orang yang berpekerti baik atau sebaliknya.  Pilihan ditangan kita.

No comments:

Post a Comment

Masukkan pandangan anda