Pejam celik pejam celik, sudah lebih dari separuh dari bulan ramadhan telah kita lalui. Malam tadi adalah solat terawih ke 17, bermakna hari ini adalah hari ke 17 umat Islam menjalani ibadat puasa. Sama-samalah kita doakan supaya ibadat kita diterima Allah swt.
Kalau kita menjenguk pasaraya, pelbagai tawaran istimewa ditawarkan oleh para peniaga. Waktu inilah ramai di kalangan kita berpusu-pusu ke pusat membeli belah. Rugi jika tidak menyahut pelbagai tawaran menarik yang disediakan. Dalam keghairahn mengejar tawaran dan memenuhi tuntutan beraya ni, jangan pula lupa kepada tawaran Mega yang disediakan. Beli 1 dapat 10 dan adakalanya melebihi 10, ada kemungkinan mendapat 1000.
Pasti sudah ramai yang sedia maklum, Rasulullah s.a.w. ada membahagikan bulan Ramadhan kepada 3 fasa iaitu:
Fasa pertama : Rahmat daripada Allah
Fasa kedua : Keampunan daripada Allah dan
Fasa ketiga : Pembebasan daripada Api neraka.
Fasa pertama (10 hari pertama) telah pun berlalu, semoga kita semua mendapat limpahan pahala daripada Allah hasil dari segala amal perbuatan kita. Sekarang kita berada dalam fasa kedua. Perbanyakkanlah memohon keampunan daripada Allah. Inilah waktu yang tepat untuk meminta keampunan dariNya dan perbanyakkanlah zikir-zikir, membaca al-Quran, bersedekah dan sebagainya. Mohonlah keampunan dan moga-moga taubat kita diterima Allah.
Fasa ketiga adalah kemuncaknya iaitu pembebasan dari api neraka. Pada fasa ini juga menurut banyak riwayat turunnya Lailatul Qadar. Kehebatan malam ini ada disebutkan dalam al-Quran. Fasa inilah yang dinanti-nantikan oleh para solihin. Kehebatan malam ini adalah kerana ia adalah malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Alangkah ruginya jika kita tidak merebut peluang ini. Amalan kita pada malam ini ganjarannya seumpama beramal selama seribu bulan.
Kalau di pasaraya, kita berebut-rebut untuk dapatkan tawaran, beli satu, percuma satu, mengapa tidak kita bersedia merebut tawaran ini, beli satu dapat 1000? Janganlah lepaskan peluang ini kerana kita tidak tahu adakah kita berpeluang untuk bersama ramadhan yang akan datang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Masukkan pandangan anda