Hari ini sambil memenuhi musim cuti, dengan cuaca di luar mendung dan hujan sekejap-sekejap, saya penuhi masa lapang dengan meneruskan bacaan buku berjudul MENOLAK BALA DENGAN SEDEKAH, karangan Mustafa Syeikh Ibrahim Haqqi dan diterjemahkan oleh Muhammad Zuhri. Membaca buku terbitan Al Hidayah ini dapat memberikan sedikit ilmu yang ingin dikongsikan bersama pembaca semua.
Dalam bab Etika Bersedekah, penulis ada menyatakan terdapat etika supaya sedekah itu mendapat kurniaan Allah (s.w.t). Iaitu:
- Sedekah harus berasal dari harta yang didapati dengan jalan yang halal. Ini selari dengan firman Allah dalam surah Al-Baqarah : 267
- Sedekah haruslah dari harta yang paling baik. Surah Ali 'Imran: 92
- Sedekah haruslah dilakukan dengan ikhlas, mengharap keredaan Allah (s.w.t.)
- Menyembunyikan sedekah jika itu lebih baik dilakukan, ataupun menampakkannya jika itu yang lebih baik dilakukan.
- Jangan menganggap sedekah anda sebagai sesuatu yang hebat. Surah al-Muddatsir:6
- Sedekah harus diserahkan dengan wajah yang ceria dan jiwa yang ramah. Sedekah yang sedikit tetapi disertai dengan wajah yang berseri adalah lebih baik bagi si penerima sedekah daripada sedekah yang banyak tetapi disertai dengan wajah yang tidak ramah
- Sedekah harus diserahkan kepada pihak yang sangat memerlukan, sebagaiman maksud hadith Rasulullah (s.a.w.) : "Sedekah kepada orang miskin mendapat satu pahala, iaitu pahala sedekah. Tetapi jika sedekah itu diserahkan kepada ahli keluarga, maka ia menjadi dua pahala, iaitu pahala sedekah dan pahala silaturrahim". (riwayat Ahmad dan Al-Tarmidzi).
- Orang yang ingin bersedekah wajib segera menunaikan sedekahnya selagi dia masih hidup.
- Menjauhkan diri dari sikap membangkit-bangkitkan sedekah yang diberikan dan menyakiti hati orang yang menerima sedekah. Surah Al-Baqarah : 263 - 264
Untuk maklumat lanjut, galilah ilmu ini dari mana-mana sumber atau dari buku ini.
Mudah-mudahan tulisan ini dapat memberi sedikit input untuk manafaat kita semua sempena tahun baru. Selamat membaca.

No comments:
Post a Comment
Masukkan pandangan anda