Malam ni saya sempat menonton sekejap siaran langsung Diambang 2011 melalui saluran 2 RTM. Memang nampak meriah, penontonnya penuh. Inilah antara wajah-wajah rakyat Malaysia bumi bertuah ini. Selepas detik 12 malam, rasmilah sudah tahun 2010 berlalu dan bermulalah 2011 dengan seribu harapan.
Kepada mereka yang sudah menutup akaun tahun 2010 pastinya sudah mengetahui kedudukan untung / rugi sepanjang tahun 2010. Kepada yang belum membuat penyata kira-kira, ada baiknya jika berbuat demikian. Jika berlaku difisit, cuba kaji di mana puncanya. Carilah jalan penyelesaian untuk memastikan beroleh keuntungan di tahun 2011 ini nanti. Bagi yang memperolehi keuntungan, cuba tingkatkan lagi keuntungan di tahun baru ini.
Bagi para peniaga, sudah pasti akaun untung rugi mereka amat lengkap. Bagi pelabur-pelabur ASB, ASN sudah pasti sedang mengira berapakah jumlah dividen dan bonus yang bakal diperolehi. Bagi kita yang juga sepatutnya bolehlah cuba menghitung apakah pencapaian-pencapaian yang telah kita perolehi sepanjang tahun 2010. Berapa banyakkah sumbangan yang telah kita curahkan? Adakah kita berpuashati dengan pencapaian kita di tahun 2010?
Secara sedar atau pun tidak, bila masuk saja tahun baru, bererti bertambah jugalah usia kita. Dengan kata lain, makin berkuranglah hayat kita yang tinggal. Cukupkah bekalan yang kita kumpulkan ditahun 2010 untuk memulakan perjalanan selepas hayat kita dialam ini berakhir nanti?
Hari ini, 1 Januari 2011, bersamaan dengan 26 Muharram 1432H. Dengan kata lain bagi umat Islam, sudah 26 hari kita menghirup udara tahun baru. Andaikan kita mempunyai sebatang pensil, setiap detik pensil ini kita gunakan. Agaknya berapa cm lagi batang pensil yang tinggal?
Anggaplah sebatang pensil itu usia kita, sekali kita menyambut ulangtahun kelahiran, sekali pensil ditajamkan. Semakin bertambah usia kita, semakin pendek pensil yang ada pada kita. Dengan andaian pensil tadi mewakili hayat kita, adakah hayat kita yang berbaki ini semakin bertambah dengan bertambahnya usia kita atau sebaliknya?
Jadi, marilah kita merenung batang pensil yang ada pada kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Masukkan pandangan anda