
Slogan Cemerlang, Gemilang, Terbilang mula meniti dibibir rakyat Malaysia apabila Datuk Seri Abdullah Amad Badawi menjadi Perdana Menteri Malaysia. Senada dengan itu, semua ibubapa yang anaknya bersekolah juga mengejar kecemerlangan dalam pelajaran. Iklan dalam TV pun ada menyelitkan slot sekumpulan ibu-ibu sibuk menyatakan anak mereka mendapat berapa A.
Alangkah gembiranya ibubapa apabila anak mereka memperolehi 5A dalam UPSR, 8A, 9A atau 10A dala PMR, dan begitulah seterusnya. Semakin banyak A, semakin kembanglah hati mereka. Bagi yang berada, tak cukup dengan kelas tambahan di sekolah, anak-anak diberikan lagi tuisyen secara persendirian. Siang-malam, pagi-petang anak-anak diasak dengan kelas tambahan, tuisyen. Jika boleh ditambah masa dalam sehari dari 24 jam kepada +24, pun mereka sanggup gunakan masa tambahan ini.
Bagi calon-calon yang memperolehi kecemerlangan, tumpuan sudahlah tentu sekolah-sekolah berasrama penuh, sekolah-sekolah terpilih. Dari sinilah harapan ibubapa nanti kian bercambah supaya berjaya dalam kehidupan kelak.
Semangat inginkan kejayaan ini amat membanggakan kita terutamanya kaum bumiputra. Harapan supaya satu masa nanti kita akan berdiri sama tinggi dengan kaum-kaum lain. Perasaan ibubapa pasti terkilan atau terguris apabila keputusan peperiksaan yang diperolehi oleh anak mereka tidak memuaskan hati mereka, kurang A dalam subjek yang diduduki dalam peperiksaan.
Dalam perlumbaan mengejar kecemerlangan ini kadangkala kita terlepas pandang satu dimensi lagi. Barangkali tidak sebegitu mustahak berbanding berapa A dikumpulkan. Kita barangkali tidak terusik jika anak-anak kita tidak melengkapkan rutin kewajipan solat 5 waktu. Kita barangkali lebih peka jika anak kita tidak menatap buku hari ini, tidak menyiapkan kerja sekolah atau sebarang latihan. Perasaan kita mungkin tidak terhiris pun jika anak kita terlepas solat subuh atau tak sempat solat maghrib kerana ia tidak memberikan sebarang grading pada zahirnya.
Kita tidak akan ambil peduli jika anak kita tidak baca Quran, tapi kita lebih peduli jika anak kita tidak baca buku. Kita sendiri pun sudah biasa dengan rutin harian, pagi-pagi baca akhbar, baca majalah. Petang bersantai depan TV yang kadangkala TV menonton kita, malam tengok siaran berita dan hiburan sementara menunggu waktu tidur.
Dalam 24 jam waktu yang diberikan kepada kita, agaknya berapa jam kita gunakan untuk berehat? berapa jam untuk membaca? berapa jam untuk bersantai? dan ada tak baki masa untuk kita membaca quran dan cuba memahami kandunganya?
No comments:
Post a Comment
Masukkan pandangan anda