Wednesday, August 10, 2011

Renungan Ramadhan

Diam tak diam, sudah 1/3 bulan Ramadhan kita lalui.  Bakinya tinggal 2/3 lagi.  Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud: "Permulaan Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan (maghfirah), dan penghujungnya adalah kebebasan dari api neraka".
Rahmat Allah itu amat banyak, seumpama titik-titik hujan dari langit yang gugur ke bumi.  Biasanya, selepas hujan, malamnya terasa nyaman, sejuk, tenang dan sebagainya.  Keesokan harinya cuaca menjadi terang benderang, pokok-pokok menghijau.  Itu adalah antara gambaran yang dapat kita perhatikan dan rasai sesudah hujan.  Barangkali inilah yang dikatakan hujan itu satu rahmat.
Berbalik kepada maksud sabda Rasulullah saw. tadi, cuba kita hitung sudah berapa banyak rahmat Allah yang dapat kita kutip sepanjang bulan Ramadhan tahun ini?  Jika air hujan, kita dapat menadahnya dengan bekas-bekas seperti besen, tempayan, tangki air dan sebagainya.  Bagaiman pula kita hendak menadah rahmat Allah yang turunnya mencurah-curah?
Cuba tanyalah lagi diri kita, sudah berapa juzuk atau berapa helai kita membaca QalamNya?  Adakah solat terawih kita tak pernah miss?  Sudah berapa banyak kita berzikir sepanjang sepetiga Ramadhan yang telah kita lalui?
Kita masih mempunyai 2/3 lagi hari-hari yang bertuah ini yang akan kita lalui.  Rebutlah peluang ini, tawaran ini bukan ada sepanjang tahun, hanya sebulan dalam setahun.  Jadikanlah bulan Ramadhan tahun ini sebagai bulan Ramadhan yang terbaik bagi kita.  Kita tidak pasti akan berpeluang berjumpa dengan Ramadhan di tahun depan.
Para alim ulama' mengatakan bahawa kita dapat mengetahui sama ada amalan kita diterima Allah atau sebaliknya.  Kalau kita memohon keampunan daripada Allah, nescaya Allah akan ampunkan dosa-dosa kita.  Jika perangai, tabiat dan sikap buruk kita tidak juga berubah,  adakah itu boleh kita katakan bahawa kita sudah mendapat keampunan dari Allah?  Contohnya kalau dahulu kita malas solat, sekarang liat untuk bersolat, Kalau dahulu kita amat senang mengata orang, sekarang pun cukup suka mengata orang, di mana kedudukan kita?

No comments:

Post a Comment

Masukkan pandangan anda