Friday, August 5, 2011

Selamat Berpuasa

Masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada umat Islam semua.  Semoga puasa tahun ini lebih tinggi mutunya berbanding puasa Ramadhan tahun lalu.  Sama-samalah kita panjatkan doa kepada Allah swt. semoga ibadat puasa kita mendapat keredhaanNYA.
Hendaknya amalan-amalan sunat yang lain juga berterusan.  Biasanya pada awal Ramadhan ini, kita dapati ruang-ruang disurau dan masjid penuh atau hampir penuh dengan makmun untuk mengerjakan solat tarawih.  Apabila bertambahnya bilangan hari bulan Ramadhan, semacam ada satu trend, bilangannya bertambah kurang.  Dengan kata lain, ia berkadar songsang.  
Semakin kehujung, semakin sedikit bilangan yang bertarawih.  Rupa-rupanya semakin ramai pula yang berkunjung ke pusat membeli belah untuk persiapan raya, menjadi penonton setia di depan TV kerana banyak rancangan yang hidangkan telah menambat hati mereka.
Sama ada disedari atau tidak, rasanya tidak ramai yang ambil peduli mengenai ganjaran yang disediakan oleh Allah di bulan Ramadhan ini kepada hambaNYA yang melakukan ibadat dengan penuh khusyuk dan ikhlas.  Hanya kepada umat Muhammad sahaja dikurniakan Lailatul Qadar.  Tetapi tidak ramai di kalangan kita yang ingin mendapat keberkatannya.
Marilah kita sama merebut tawaran hebat ini pada tahun ini, kerana belum tentu kita akan bertemu lagi Ramadhan tahun hadapan.  Ya Allah berikanlah hambaMu ini peluang untuk mengerjakan ibadat puasa tahun ini dengan sebaik-baiknya.
Amin !!!

Berikut adalah satu terjemahan hadith untuk dikongsi bersama:

Rasulullah saw bersabda maksudnya: "Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda.  Allah Azza Wajalla berfirman: Melainkan puasa, kerana ia untuk-KU dan AKU sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-KU.  Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Kasturi".  
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment

Masukkan pandangan anda