Sunday, July 22, 2012

Selamat datang bulan Ramadhan

Kepada semua muslimin dan muslimat, selamat berpuasa diucapkan.  Alhamdulillah, kita masih lagi berpeluang untuk bersama Ramadhan tahun in.  Semasa mengikuti kuliah maghrib minggu lepas, ustaz telah membicarakan mengenai kehadiran Ramadhan, bagaimana untuk menyambutnya.  Katanya biarlah Ramadhan tahun ini lebih baik dari Ramadhan yang lalu bagi kita.  Beliau membuat ulasan daripada mutiara peninggalan Imam Al Ghazali.
Kalau dalam peperiksaan, kita mahukan supaya pelajar-pelajar capai semua A+, maka puasa pun biarlah dapat A+.  Untuk itu, berikut di sertakan sedikit sebanyak catatan yang boleh membantu kita memperolehi A+ dalam ibadat berbuasa, iaitu dengan melakukan amalan-amalan sunat di bulan Ramadhan.


1
Makan sahur dan mentakhirkannya


Waktu bersahur bermula pertengahan malam sehingga sebelum waktu subuh. Terdapat keberkatan semasa makan sahur, walaupun hanya dengan seteguk air. Hikmah disebaliknya adalah supaya dapat menjaga stamina semasa berpuasa,
Sabda Rasulullah saw: “Sesungguhnya makan sahur adalah barakah yang Allah berikan pada kalian maka janganlah kalian tinggalkan”. (HR An Nasa’i dan Ahmad).
Abu Said ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda, “Sahur itu makanan yang barakah, janganlah kalian meninggalkannya walaupun hanya meneguk seteguk air, kerana Allah dan malaikatNya berselawat kepada orang-orang yag bersahur”.
Jelaslah bahawa bersahur itu merupakan satu sunnah.  Melaksanakannya mendapat pahala.  Dengan mentakhirkan bersahur, membolehkan kita melakukan solat subuh diawal waktu.

2
Menyegerakan berbuka


Menyegerakan berbuka puasa hendaklah menjadi keutamaan. 
Rasulullah saw bersabda “seseorang akan tetap berada dalam kebaikan apabila menyegerakan berbuka puasa”.
HR : Sahl bin Sa’d
Semasa berbuka, disunatkan pula dengan mendahulukan memakan makanan manis seperti tamar (kurma) dalam jumlah ganjil.

3
Berdo’a ketika berbuka puasa


Seseorang yang berpuasa, dan berdoa sewaktu berbuka, maka doanya termasuk dalam doa yang dimakbulkan,  antara riwayat yang menjelaskan tentang perkara ini:

Dari Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash bahawa Rasulullah saw bersabda; “Bagi orang yang sedang berpuasa maka apabila berdo’a ketika berbuka maka doanya tidak ditolak”.

Dalam riwayat lain Rasulullah saw bersabda;” Ada tiga golongan yang doa mereka tidak akan ditolak; orang yang berpuasa sehingga berbuka, seorang pemimpin yang adil dan do’a orang yang didzalimi”.

Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda; “ Tiga doa yang tidak ditolak; iaitu doa seorang ayah, doa orang yang berpuasa, dan doa orang yang bermusafir.
Berdoalah untuk kebaikan diri, ibubapa, keluarga, saudara seagama di seluruh dunia.

4
Meninggalkan perkataan kotor


Ibadah puasa merupakan satu cara seseorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah swt.  Amalan berpuasa merupakan satu bentuk latihan mendisiplikan diri untuk melakukan perkara-perkara kebaikan dan menghindarkan diri dari melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh ugama.  Ibadah berpuasa dapat membantu kita mendekatkan jiwa kepada Allah swt seperti melalui amalan-amalan soleh yang dilakukan secara lisan, lintasan hati dan perbuatan.


Abu Hurairah ra meriwayatkan Rasulullah saw bersabda: “Berpuasa bukan hanya (menahan) dari makan dan minum, sesungguhnya berpuasa dari perbuatan yang sia-sia dan perkataan yang kotor”.
Pastikan kita tidak kehilangan pahala berpuasa semasa berpuasa sebaliknya kutiplah sebanyak mungkin pahala dimulan yag berkat ini.

5
Memberi makan kepada orang yang berpuasa


Orang yang sedang berpuasa dianjurkan untuk memberi makan kepada saudara-saudaranya yang sedang berpuasa.  Ini boleh merapatkan lagi silaturrahim di kalangan umat Islam dan juga saudara mara kita.
Hakikatnya supaya kita sedar terhadap keadaan saudara seIslam yang lain.  Masih ramai umat Islam yang berada dalam kesusahan dan dizalimi diseluruh dunia.  Melalui ibadat berpuasa inilah dapat menunjukkan kesepaduan kita terhadap mereka.


“Sesiapa yang menjamu seseorang berbuka puasa, maka dia mendapat seperti pahalanya, tanpa mengurangkan sedikit pun pahala orang tersebut.”
HR : Tarmizi, Ibn Majah


Firman Allah swt bermaksud:
“Bandingan (pahala) orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai dan pada setiap tangkai pula ada 100 biji. Allah melipatgandakan ganjaran sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” 
(Surah al-Baqarah, ayat 261)
6
Tidak melaksanakan al hijamah (bekam)


Menurut para ulama madhab Syafii, amalan berbekam akan menyebabkan lemahnya keadaan  tubuh orang-orang yang berpuasa, oleh sebab itu mereka menganjurkan untuk tidak mengamalkannya selama bulan Ramadan.

7
Memperluas hubungan silaturahim, berbuat ihsan terhadap sanak saudara dan memperbanyak sedekah terhadap fakir miskin.


“Bahwa Rasulullah saw adalah orang yang paling dermawan dalam kebaikan, terlebih lagi pada bulan Ramadan ketika sedang menemui Jibril”.

8
Membanyakkan membaca al Qur’an dan zikir


Hendaklah orang-orang yang sedang berpuasa senantiasa menyibukkan dirinya dalam hal-hal kebaikan semata.

Ibn Abbas ra meriwayatkan “Baginda bertemu dengan Jibril pada setiap malam bulan Ramadhan, lalu mereka bertadarus Al-Quran”.
 
9
‘Itikaf dalam masjid


Para hamba Allah yang berpuasa hendaklah tidak mensia-siakan saat yang paling berharga sepanjan bulan Ramadan, diantaranya dengan ber ‘itikaf terutama pada sepuluh hari terakhir (mulai malam ke 21). Dengan mengkhususkan diri berdiam selama beberapa hari di masjid untuk lebih bermujahadah dalam ibadah, maka hal ini juga sebagai bentuk latihan pembentukan diri menjadi hamba Allah yang sedang mendekati Rabb nya. Baginda Rasulullah saw apabila datang sepuluh hari terakhir Ramadan maka baginda segera menyambutnya dengan penuh kekhusyukan. ‘Aisyah menceritakan dalam sebuah riwayat:

“Bahwa Baginda Rasulullah saw apabila telah memasuki sepuluh terakhir (Ramadan) beliau menghidupkan malamnya dan membangunkan ahli keluarganya serta mengetatkan kainnya (tidak melakukan jima’)”.

Ini merupakan beberapa amalan sunat di bulan Ramadhan.  Rebutlah bonus yang datang sebulan dalam setahun ini.  Kalau pasaraya-pasaraya kerap mengadakan mega sale menjelang musim perayaan, tetapi ia tidak sebesar mega sale yang ditawarkan oleh Allah swt di bulan Ramadhan ini dimana amalan sunat diberikan ganjaran senilai dengan amalan wajib di bulan lain, sebagaimana hadith yag diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi yang menyatakan bahawa amalan sunnah pada bulan Ramadhan bernilai seperti wajib dan amalan wajib senilai 70 amalan wajib diluar Ramadhan.

10
Mandi junub sebelum waktu solat subuh


Seseorang yang sedang berpuasa hendaklah dalam keadaan yang suci.  Ini membolehkan seseorang yang berpuasa itu menunaikan ibadat wajib lainnya seperti solat subuh pada awal waktu.

No comments:

Post a Comment

Masukkan pandangan anda