Apabila menulis di atas pasir, kebiasaannya ia tidak akan kekal lama, terutama di atas pasir pantai. Datang ombak hilanglah dia. Hilang disapu ombak. Berkali-kali kita menulis, pasti ia akan disapu ombak. Jika ia merupakan kenangan dalam kehidupan kita, ia akan hilang dari penglihatan, namun dalam ingatan di kotak fikiran akan terus bersarang sehingga ke suatu masa.
Begitulah catatan kehidupan. Segala rentetan peristiwa pasti terpahat kukuh dalam fikiran. Hanya masa dan keadaan yang menentukan tahap ia akan hilang dari memori, kerana suatu hari nanti, ia akan menjadi album kenangan.
Seminggu sudah berlalu, kini sudah masuk minggu kedua, Segalanya sudah menjadi memori bagi seluruh ahli keluarga serta kenalan. Jumaat 14 Jun 2019 terus berlalu meningggalkan kenangan suka dan duka.
Suka, gembira apabila menerima seorang ahli baru dalam keluarga. Saiz keluarga berkembang lagi, bukan melalui kelahiran, tetapi melalui ikatan perkahwinan. Selamat datang Nuradilah dalam keluarga kami. Sukar nak digambarkan betapa gembiranya seluruh ahli keluarga menerima menantu baru dalam keluarga, terutamanya Muhammad Adib yang kini bergelar suami. Gelaran suami bermakna tanggungjawab sebagi ketua rumahtangga sudah bermula. Tunaikanlah peranan dan tanggungjawab dengan amanah dan jujur. Lakukanlah dengan bijaksana kerana kelak sang suami akan disoal tentang apa yang dilakukannya kelak. Jagalah amanah yang diberikan.
Puncak kegembiraan ini tidak lama bersarang dibenak kami rupanya. Lebih kurang dua jam meraikan kehadiran ahli baru, berita mengejutkan diterima. Salah seorang ahli keluarga kami telah dijemput penciptanya. Jam 6:30 petang kami menerima perkhabaran bahawa abang kepada pengantin lelaki, iaitu Muhammad 'Afif telah terlibat dalam kemalangan maut di lebuhraya Latar, Selangor. Arwah disahkan meninggal pada jam 5:30 petang. Arwah adalah dalam perjalanan balik ke tampat kerjanya setelah menghadiri majlis akad nikah adiknya di Tasik Puteri.
Pemergiannya amat mengejutkan seluruh ahli keluarga. Tiada siapa menyangka beliau akan pergi sebegitu cepat. Baru 1 jam setengah menerima adik ipar, beliau telah pergi selama-lamanya dari dunia yang fana ini. Al Fatihah untuk Muhammad 'Afif. Semoga roh arwah dicucuri rahmat daripada Allah swt.
Ya Allah ampunilah hambaMu ini, rahmatilah dan kasihanilah dia.
Amiin.
Kini dah hari ke 13, ia sudah menjadi sejarah keluarga. Ianya kekal dalam album keluarga dan menjadi suatu memori. Kepada rakan-rakan sekerjanya, sahabat dan taulannya yang sama-sama berada di bahagian forensik, hospital sungai Buloh pada hari kejadian, kami pihak keluarga mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan moral pada malam itu.
Kami juga mengucapkan terima kasih kepada yang menghadiri majlis pengebumiannya di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara keesokan harinya. Kepada jemaah surau As Sahabah, sekyen 7, Kota Damasara riibuan terima kasih kami ucapkan kerana telah sama-sama menunaikan solat jenazah utnuk arwah. Jazakumullah hukhairan kathira.
Ingatlah, suatu hari kita akan jadi memori bagi sebahagian orang. Jadi lakukanlah yang terbaik untuk menjadi orang yang baik.
Wednesday, June 26, 2019
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Masukkan pandangan anda